Menu Close

Jangan Lakukan 10 Kesilapan ini Semasa Memohon Pinjaman Peribadi

Membuat pinjaman peribadi pastinya merupakan sebuah keputusan yang besar dan penting untuk dilakukan.

Apatah lagi bagi orang yang pertama kali ingin membuat permohonan, pastinya ia adalah keputusan yang sangat sukar!

Namun, pinjaman peribadi sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia. Anda bukanlah orang yang pertama mempertimbangkan pinjaman ini, dan pastinya bukan orang yang terakhir.

Secara asasnya, terdapat banyak kelebihan melakukan pinjaman peribadi.

Sebagai contoh, pinjaman peribadi adalah sangat berguna untuk membersihkan hutang kad kredit anda yang mempunyai kadar faedah yang tinggi. 

Disebabkan ramai rakyat Malaysia pada masa kini gemar berbelanja berlebihan menggunakan kad kredit (ha, korang lah tu), maka secara tak semena-mena hutang kad kredit tersebut pun melambung tinggi.

Jadi penyelesaian yang terbaik adalah dengan melakukan pinjaman peribadi untuk menyelesaikan masalah hutang kad kredit tersebut.

Pinjaman peribadi mempunyai kadar rata, berbanding dengan pinjaman kad kredit yang mempunyai kadar tetap, jadi secara logiknya adalah lebih jimat untuk mengambil pinjaman peribadi untuk menyelesaikan hutang kad kredit anda.

Tetapi harus di ingat, kadar faedah pinjaman peribadi itu mestilah lebih rendah daripada kadar faedah kad kredit anda ya!  

Ha, ini baru satu daripada pelbagai kebaikan mengambil pinjaman peribadi. Ada banyak lagi kebaikan daripada mengambil pinjaman peribadi ini sekiranya anda bijak menggunakan peluang yang ada.

Tetapi sebelum mengambil pinjaman peribadi, persiapkan diri anda dengan ilmu. Jangan lakukan 10 kesilapan ini ketika memohon pinjaman peribadi!

  1. Tidak betul-betul memahami kadar faedah (interest rate)

Disebabkan majoriti penduduk di Malaysia adalah beragama Islam, maka kebanyakan bank menawarkan pelan pembiayaan pinjaman patuh syariah, selain daripada jenis pinjaman konvensional yang sedia ada.

Pinjaman peribadi yang patuh syariah di Malaysia adalah berkonsepkan daripada Bai al-Inah (nak baca lebih lanjut tentang Bai al-Inah ni korang boleh baca dekat sini). 

Bagi yang menggunakan pinjaman peribadi berkonsepkan Bai al-Inah, kebiasaannya tidak mempunyai masalah tentang kadar faedah daripada bank kerana mempunyai kadar faedah yang tetap (walaupun kebiasaannya kadar faedah Bai al-Inah ni tinggi sikit daripada pinjaman konvensional).

Tetapi bagi yang menggunakan pinjaman peribadi konvensional, kadar faedahnya adalah berubah. Kebiasaannya kadar faedahnya adalah bergantung kepada nilai pinjaman yang diluluskan.

Fahami kadar faedah daripada pinjaman peribadi tersebut dan pastikan berapakah jumlah yang perlu anda bayar setiap bulan kepada bank.

2. Tidak melakukan perbandingan terlebih dahulu.

Anda seharusnya melihat kesemua pilihan yang anda. Jangan terburu-buru di dalam membuat pilihan sebelum melakukan permohonan pinjaman peribadi. 

Kemungkinan yang kebiasaannya berlaku adalah, anda mempunyai akaun bank dan ingin melakukan pinjaman daripada bank yang sama. 

Ataupun seringkali juga berlaku, ramai yang terus menerima tawaran daripada mana-mana pihak yang menawarkan pinjaman peribadi kepada mereka.

Mereka menganggap kesemua bank atau mana-mana institusi kewangan akan memberikan kadar dan syarat yang sama.

Nanti dulu! Fikir semula.

Lakukan sedikit penyedikan. Ya, kami tahu ‘time is money‘. Tapi jika dengan melakukan perbandingan anda dapat jimat dengan jumlah yang banyak, why not

Selidik dahulu kadar faedah,  keperluan kelayakan dan semua perkara penting yang perlu anda ketahui.

3. Mengabaikan skor kredit anda

Kebanyakan peminjam seringkali mengabaikan skor kredit mereka, tanpa mengetahui betapa skor kredit ini akan menentukan kadar faedah pinjaman mereka.

Secara asasnya, skor kredit yang bagus akan membawa kepada kadar faedah pinjaman yang lebih rendah dan skor kredit yang teruk pastinya akan membawa kadar faedah yang lebih tinggi.

Skor kredit ini juga seringkali menentukan sama ada permohonan anda diluluskan atau tidak. 

Pihak bank akan meneliti ketepatan waktu anda membayar bil atau mana-mana pinjaman yang sedia ada, sebagai contohnya kad kredit.

Sekiranya track-record anda adalah buruk, maka kemungkinan besar anda akan ditawarkan kadar faedah yang lebih tinggi.

Jadi, ambil dulu sedikit masa untuk memperbaiki skor kredit anda.

Bayar dahulu tunggakan-tunggakan yang ada sebelum melakukan permohonan pinjaman peribadi anda.

Kalau boleh, belajarlah untuk membayar semua bil dan kad kredit tepat pada waktunya, kasi cun anda punya skor kredit!

4. Memilih untuk memanjangkan tempoh pinjaman

Ramai daripada kita yang beranggapan bahawa semakin panjang tempoh pinjaman yang kita pilih, semakin mudahlah kita untuk membayar ansuran pinjaman. 

Sebenarnya tidak.

 Cuba langsaikan pinjaman peribadi tersebut dengan kadar segera semampu anda (tapi kena yakin yang ansuran bulanan tu betul-betul mampu bayarlah, bang). 

Sebagai contoh, anda mengambil pinjaman peribadi untuk meluaskan dapur rumah anda sebanyak RM30,000 dengan kadar faedah sebanyak 7%.

Dengan mengambil ansuran pinjaman selama 4 tahun, anda perlu membayar sebanyak RM718.39 sebulan. Bagi ansuran pinjaman selama 6 tahun pula anda perlu membayar sebanyak RM511.47 sebulan.

Kiraan secara kasar, ansuran selama 6 tahun kelihatan lebih berbaloi kerana anda jimat RM206.92 setiap bulan.

Namun, bagi jangka masa panjang, anda sebenarnya membayar sebanyak RM36,825.84 bagi ansuran pinjaman selama 6 tahun, danRM34,482.72  sahaja bagi ansuran selama 4 tahun.

Dengan memilih ansuran  pinjaman peribadi yang lebih pendek, anda akan jimat sebanyak RM2,343.12 bagi jangka masa panjang. Banyak tu! 

5. Mengambil pinjaman peribadi untuk tujuan yang salah

Sebelum anda mengambil pinjaman peribadi, pastikan dahulu tujuan anda mengambil pinjaman peribadi tersebut. 

Anda memohon pinjaman peribadi bagi menyelesaikan ansuran pinjaman lain yang mempunyai kadar faedah tinggi? Tujuan yang betul.

Anda memohon pinjaman bagi membaikpulih rumah anda yang memerlukan kos tinggi? Tujuan yang betul.

Anda memohon pinjaman peribadi bagi percutian di luar negara yang anda tidak mampu? Tujuan yang salah!

Pastikan anda benar-benar mempunyai sebab yang betul untuk memohon pinjaman peribadi.

Pihak bank juga akan memberikan kadar faedah yang lebih rendah sekiranya tujuan pinjaman tersebut adalah jelas dan diyakini. 

8. Tidak memeriksa yuran dan caj pinjaman

Kebanyakan bank atau institusi kewangan akan menyelitkan sedikit yuran dan caj pinjaman kepada anda.

Sebagi contoh, anda melakukan pinjaman peribadi daripada Bank A dengan bayaran ansuran selama 4 tahun. 

Namun selepas 2 tahun, anda menerima keuntungan yang besar dan ingin melakukan pembayaran penuh bagi baki pinjaman anda.

Secara tiba-tiba, anda diarahkan untuk membayar penalti kepada Bank A (kerana pihak bank akan gagal untuk menerima pembayaran penuh kadar faedah pinjaman tersebut).

Anda juga perlu memeriksa caj pembayaran lewat pinjaman. Sekiranya anda gagal untuk membuat pembayaran ansuran bulanan kepada si pemberi pinjam, maka caj pembayaran lewat akan dikenakan.

Maka, seharusnya anda memeriksa dengan teliti setiap butiran yang terdapat di dalam kontrak pinjaman.

7. Meminjam melebihi tahap kemampuan

Adalah tidak masuk akal sama sekali, sekiranya kita meminjam sejumlah duit yang kita tidak akan mampu untuk membayarnya semula.

Namun, inilah hakikatnya!

Ramai daripada kita yang terlalu yakin dengan diri sendiri sehinggakan terlebih pinjam.

Sebelum memohon sesebuah pinjaman, tidak kiralah sama ada pinjaman perumahan, kereta, mahupun peribadi, kita seharusnya ukur baju di badan sendiri.

Nilai semula jumlah pendapatan bulanan kita, kadar perbelanjaan, dan kadar ansuran bulanan yang akan perlu kita bayar.

Pastikan jumlah tersebut adalah releven dengan kemampuan kita. Meminjam itu memang mudah, tetapi nak membayar nanti rasalah azabnya ya, tuan-tuan!

8. Menipu dalam permohonan pinjaman peribadi

Tahukah anda bahawa sebarang cubaan untuk menipu atau menyembunyikan sesuatu maklumat akan membawa kepada tindakan undang-undang?

Jangan cuba ya, tuan-tuan!

Sungguhpun sekiranya permohonan tersebut berjaya, namun sekiranya penipuan tersebut dibongkarkan, boleh jadi pinjaman anda akan ditarik serta merta dan anda akan dibawa ke muka pengadilan.

Hal ini termasuk juga dengan penipuan secara tidak sengaja ketika melakukan permohonan.

Jadi ambil masa anda, luangkan sedikit untuk memeriksa secara teliti permohonan tersebut. 

Pastikan juga anda tidak menyembunyikan mana-mana pinjaman yang telah sedia ada ketika mengisi maklumat.

9. Tidak bersedia untuk membayar ansuran bulanan tepat pada masa

Dah pinjam, kenalah bayar. Ye Tak? Pastikan anda bersedia untuk membayar ansuran pinjaman tersebut tepat pada masa yang ditetapkan.

Bunyinya macam mudah, tetapi perkara inilah yang seringkali menjadi masalah bagi ramai orang.

Kesilapan ini seringkali berlaku bagi mereka yang pertama kali melakukan pinjaman. Kadang-kala perkara ini bukanlah dilakukan dengan sengaja, tetapi hanya kerana terlupa.

Namun, jangan pandang rendah kesan daripada kesilapan ini!

Tidak melakukan bayaran ansuran pinjaman akan menyebabkan skor kredit anda menjadi buruk dan akan menyusahkan anda untuk memohon pinjaman pada masa akan datang.

Tandakan tarikh bayaran ansuran di kalendar anda. Masukkan reminder atau memo di dalam telefon bimbit anda. Tuliskan tarikh tersebut di dalam diari anda.

Atau apa juga cara lain yang akan memastikan supaya anda tidak lupa untuk melakukan pembayaran ansuran pinjaman peribadi anda.

10. Tidak bersedia dengan bajet selepas pinjaman diluluskan

Ramai daripada kita yang tidak merancang bajet selepas pinjaman diluluskan.

Selain daripada melakukan perbandingan bagi mendapatkan kadar faedah yang paling rendah, anda juga seharusnya melakukan kajian tentang bagaimana anda akan membayar semula pinjaman tersebut.

Rancanglah dengan teliti. Secara idealnya, bayaran ansuran bagi pinjaman peribadi adalah tidak melebihi 15-25% daripada pendapatan bulanan anda.

Sekiranya ia lebih daripada jumlah tersebut, maka seharusnya anda juga perlu berusaha untuk menambahkan pendapatan bulanan anda.